Wednesday 27 April 2016

Jalan - jalan Australia 2012: Self drive di Great Ocean Road

 



4 September 2012

Great Ocean Road yang terletak di Australia merupakan antara salah satu jalan yang tercantik di dunia. Ianya telah dibina pada tahun 1919  sehingga 1932 oleh bekas tentera yang berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua dan didedikasikan kepada mereka yang telah gugur dalam peperangan berkenaan. Jalan ini menghubungkan beberapa bandar/pekan di Australia iaitu Torquay-Lorne-Apollo Bay-Port Campbell-Warnambool dan berakhir di Port Fairy.  Kebanyakan pengunjung singgah melawat di tempat-tempat ini semasa melalui Jalan Great Ocean ini, kerana ianya mempunyai keistimewaan dan tarikan tersendiri. Daya tarikan utama yang boleh dilawati di jalan ini adalah 12 apostles ...12 buah bongkah batu besar pelbagai bentuk di pantai Port Campell. Tak sah pergi ke sini kalau tak singgah melihat 12 Apostles ni. Kita boleh memandu di jalan ini secara day trip iaitu selama 4 jam sehala memandangkan jarak jalan ini tidaklah berapa jauh iaitu 243km sahaja tetapi kebiasaannya pengunjung melakukannya selama 3 hari untuk benar-benar menikmati perjalanan di sini. Bak kata pepatah omputeh life is a journey, not the destination.

Kami memulakan perjalanan kami daripada Melbourne Airport pada pukul 8.00 pagi. Ini adalah kerana kami sampai di sini daripada Sydney dengan menaiki flight pada pagi berkenaan dan bercadang terus ke Great Ocean Road dengan kereta sewa yang telah ditempah awal. Tempahan awal boleh memastikan kesediaan kereta untuk diguna dan kita juga boleh mendapat harga yang murah dibandingkan dengan walk in. Kami menyewa kereta Ford Focus dengan harga sewaan sebanyak RM120 sehari.

Kita boleh menikmati pemandangan ladang Canola di sepanjang perjalanan dari Melbourne Airport ke pantai Lorne sekiranya anda ke sini pada musim bunga. Bunga Canola ini memang cantik tetapi kami tidak singgah bergambar atau berselfie kerana ladang- ladang ini jauh dari jalan tetapi memang kita boleh nampak dari jalan raya. Untuk pergi ke ladang ini lebih dekat kami tak pasti jalan ke sana sebab sebelum ini tidak terfikir bahawa ladang-ladang canola ini ada di sepanjang jalan ini.

Selepas sejam dalam perjalanan kami singgah di pantai Lorne untuk menikmati pemandangan di pantai ini. Pantai ini amat terkenal dikunjungi semasa musim panas untuk aktiviti berjemur, mandi manda dan surfing.  Oleh kerana cuaca di sini masih sejuk lagi hanya kelihatan seorang surfer dan beberapa orang sahaja yang mandi-manda di laut ini.

Pantai Lorne yang masih sunyi dari pengunjung




Tidak jauh dari pantai Lorne terletak Anzac Memorial Park iaitu sebuah taman yang didedikasikan kepada tentera Australia dan New Zealand yang gugur dalam peperangan. Taman ini terletak di atas bukit dan kita boleh menikmati pemandangan pantai Lorne dan kawasan sekitarnya dengan lebih jelas lagi dari sini.

Dari parking Anzac Memorial Park ni pun boleh melihat pemandangan laut yang indah
 

Selepas bersiar-siar sebentar di taman ini kami meneruskan kembali perjalanan kami. Ini adalah antara gambar-gambar yang diambil di sepanjang menyelurusi jalan ini sebelum kami sampai di Apollo Bay




 






Kami sampai di Apollo Bay pada pukul 3 p.m untuk bermalam di sini sebelum menyambung perjalanan lagi esoknya. Pekan Apollo Bay ini agak kecil dan masih sunyi dari pengunjung. Tempat ini akan meriah di musim panas dan harga hotel akan melambung tinggi. Kami bermalam di motel dengan kos sebanyak RM180 sahaja (harga agak murah kerana kami datang pada awal musim bunga)

Inilah motel kami sewa ..




Kami tidak jumpa kedai makan halal di sini dan hanya makan megi dan telur sahaja (makanan ruji semasa melancong). Selepas makan kami tidak bersiar-siar di pekan ini seperti dirancang kerana keletihan dan saya mabuk jalan. Apa tidaknya jalan Great Ocean Road ini seperti ular kena palu dan melalui bukit bukau dan tebing laut yang tinggi.

Pada keesokannya kami menyambung perjalanan kami selepas bersiar-siar sebentar di Pekan Apollo Bay. Selepas sejam bertolak kami singgah di Otway National Park. Otway National Park ni terkenal dengan koala yang hidup di habitat asalnya (bukan dalam zoo). Koala ni merupakan haiwan terpelihara di Australia dan oleh itu ianya tidak takut dengan manusia. Kebanyakan masa koala ni dihabiskan di atas pokok Eucalypt, tidur atau bergayut atas dahan pokok ni. Sewaktu kami di Otway National Park, ni kami terserempak dengan haiwan ini yang tidur dan bergayut-gayutan di dahan pokok eucalypt yang banyak di tepi-tepi jalan. Jadi tak payahlah kita nak bersusah susah nak mencari haiwan ni kat dalam hutan. Hanya nak mengambil gambar haiwan ni agak sukar kerana kebanyakan haiwan ni berada di dahan pokok yang tinggi.

Koala di Otway National Park. So cute...



Inilah pokok Eucalypt. Daunnya jarang-jarang dan merupakan makanan ruji si koala


Semasa di Taman Negara Otway ni , kami singgah melawat Cape Otway Lighthouse yang merupakan rumah api tertua dan paling penting di Australia. Untuk ke sini kita kena berjalan kaki selama 10 minit daripada tempat letak kereta.

Cape Otway Lighthouse


 



Dari atas rumah api ini kita dapat menikmati pemandangan laut dan tebing yang dramatik. Tak caya tengok gambar di bawah.... 






Sebenarnya gambar-gambar di atas ini diambil sewaktu saya tengah kegayatan yang amat kerana gambar-gambar ini  diambil dari ruang terbuka atas rumah api ni. Angin pula agak kuat masa tu..rasa melayang-layang. Demi nak ambil gambar punya pasal..ku gagahkan jua kaki dan tangan yang dah terketar-ketar ini..

Ini gambar bukan atas lighthouse tetapi berhampiran dengan lighthouse tu jugalah. Boleh juga lah nampak laut dan tebing yang dramatik tu..tapi taklah sejelas atas rumah api tadi



Antara hajat di hati jalan-jalan di Great Ocean Road ni adalah nak lihat kangaroo yang memang famous ada di Australia. Pergi Australia tapi tak jumpa kangaroo rasanya macam masak tak cukup ramuan.  Katanya banyak kat sepanjang jalan Great Ocean ni tapi seekor pun kami tak jumpa. Untuk menghilangkan keempunan nak tengok kangaroo ni kami pun singgah di Great Ocean Road Wildlife Park yang terletak tidak jauh dari Otway National Park. Nak masuk taman ni kena bayar. AUD5.

Inilah kangaroo yang dijumpa dalam zoo tu Ada jugalah binatang lain macam burung merak, arnab dan burung unta kat taman ni. Kecik je taman ni...ingatkan besar. Tak seperti digembar gemburkan



Sebelum kami sampai di Taman Negara Port Campbell kami melalui ladang-ladang lembu dan bebiri. Bagi kita yang jarang jumpa view begini rasa cantik lah...bagi diaorang kat Australia ni biasa-biasa je lah atau dah naik jemu...



Tidak berapa lama selepas itu kami sampai di Gibson Steps (antara tempat famous kat Great Ocean Road ni). Tempat ni merupakan tempat lawatan pertama yang akan kita jumpa di Port Campell National Park dan terletak  tidak jauh daripada 12 Apostles.




Dari tebing pantai yang tinggi ni kita boleh turun ke pantai...bukan terjun ye. Gunalah anak tangga yang disediakan
 


 Turun mudah tapi bab nak naik semput...




Pantai Gibson Step...sunyi dan sepi. Tak ramai yang berkunjung di sini (berbeza dari 12 Apostles..ramainya orang, nak ambil gambar pun payah). Maybe sebab kena turun naik tangga kot..

15 minit pemanduan daripada Gibson Step ini akhirnya kami smpai ke Viewpoint 12 Apostles yang famous tu.  Hanya beberapa bongkah batu daripada 12 Apostles sahaja lagi yang tinggal..yang lain dah berkecai oleh pukulan ombak dan angin yang selalu mengganas di sini. Masa kami sampai di sini waktu dah remang-remang nak senja walaupun baharu pukul 4.00 p.m. Ini yang tak best pergi masa awal musim bunga. Masa terhad untuk berjalan.


 Ramainya orang di sini..kena pandai-pandailah timing kalau tak nak gambar orang lain dalam gambar kita


Inilah gambar 12 Apostles pada senjakala diabadikan dengan kamera Nikon rega RM300 yang banyak berjasa dalam setiap trip kami





Selepas dah puas posing-posing sini kami singgah pula di pekan Port Campbell. Sebelum ni berniat nak teruskan sampai ke Port Fairy (hentian terakhir Great Ocean Road) tetapi memandangkan hari dah nak malam perjalanan kami di Great Ocean Road ni kami putuskan sampai setakat di Port Campbell sahaja. 

Waterfront Port Campbell


Di pekan ni kami mengisi minyak kereta. Harga minyak lebih mahal daripada stesen minyak di Melbourne Airport (tempat kami isi sebelum ini). Di sini rupanya harga minyak ikut lokasi kita isi. Tak macam Malaysia, harga standard kat mana-mana.  Harga seliter AUD4.60 (dalam RM15.00).  Mak ai mahalnya. Bertabah je lah...nasib baik tak drive jauh-jauh.  Dari Port Campbell kami ke Geelong dengan menggunakan jalan yang lain, yang kurang scenic tetapi lebih pantas.

Tujuan kami ke Geelong tak lain dan tak bukan singgah di rumah kawan baik yang menetap di sini. Alhamdulilah kami djamu dengan pelbagai makanan..termasuk laksa penang. Bukan laksa Australia ye... Rezeki-rezeki, kami yang belum lunch ni memang sudah kelaparan sebab sebelum ni banyak makan angin je.



Blog berkaitan: