Sunday 26 February 2017

Jalan - jalan Taiwan 2016: Taroko Gorge



2 Disember 2016

Taroko Gorge merupakan salah satu daripada 9 taman negara di Taiwan dan merupakan gaung-gaung marmar yang unik yang terbentuk hasil dari alam semulajadi. Ianya terletak di Sungai Liwu, didaerah Hualien dan dikatakan terdapat banyak batu jed di sini.  Untuk ke sini dari Taipei, pengunjung boleh menaiki keretapi dari Taipei Station dan berhenti di Xincheng Station  atau Hualien Station. Kami turun di Hualien Station kerana kekerapan keretapi lebih banyak ke sini dan juga lebih mudah untuk menaiki Taroko Shuttle Bus.

Seawal pukul 7 pagi kami telah berjalan kaki dari hotel ke Taipei Station. Perjalanan dari hotel ke stesen dekat sahaja. Dalam masa 10 minit dah sampai stesen. Tapi oleh kerana stesen ini luas kami kena mencari-cari juga platform tempat kami naik keretapi.  Mula-mula confuse  juga di mana platform kami sebab signage yang ada agak mengelirukan. Akhirnya kami bertanya dengan pekerja di situ. Orang Taiwan kebanyakannya boleh bercakap English so agak mudah berkomunikasi.

Keretapi kami ke Hualien adalah pada pukul 7.40 pagi. Tiket keretapi kami telah beli secara online sebulan awal.   Baucar tempahan online ini perlu ditukar dulu di 7 - 11 atau di stesen Taipei untuk mendapatkan tiket sebenar sebelum menaiki keretapi. Tiket ke Hualien selalu sold out dan adalah disarankan  tiket dibeli awal sekiranya anda hendak ke Hualien dengan menaiki keretapi. Untuk menempah tiket online ini anda boleh pergi ke alamat url http://www.railway.gov.tw/en/index.aspx  Tiket boleh ditempah seawal sebulan dari tarikh bertolak. Harga tiket keretapi sehala ke Hualien bernilai TWD440 (RM63) untuk perjalanan sejauh 2 jam.

Sampai di Taipei Station baru saya sedar saya tertinggal bateri kamera di hotel. Malam tadi saya caj tapi terlupa hendak masukan ke dalam kamera balik. Untuk patah balik ambil bateri memang tak sempat. So terpaksalah reda je lah  untuk ambil gambar di Taroko Gorge dengan kamera handphone sahaja.

Keretapi  kami bertolak on time. Tempat duduk agak selesa dan legroom agak luas. Permandangan pada mulanya agak kurang menarik iaitu menyelusuri kawasan bandar (kebanyakaan bangunan lama). Ianya jadi menarik apabila kami melalui  banyak terowong, menyelusuri sungai, perkampungan dan juga melalui hutan rimba. Setengah jam sebelum sampai ke Hualien permandangan yang dilalui menjadi bertambah indah kerana pemandangan gorge di sebelah kanan dan pesisir pantai di sebelah kiri dilalui.  Hanya cuaca pada hari ini mendung dan kadang-kadang hujan di sepanjang perjalanan menjadikan permandangan yang dilalui agak suram.
 Suasana dalam train


Antara  pemandangan yang dilalui keretapi yang sempat dirakam






Stesen Hualien agak kecil sahaja dan agak crowded dengan pengunjung. Kami terus  keluar dari stesen dan terus membelok di sebelah kiri untuk ke stesen bas (dalam 200 meter dari stesen Hualien) untuk membeli tiket Taroke Gorge Shuttle Bus. Bas ini berkonsepkan hop on hop off dan kita hanya perlu membayar sekali sahaja tiket dengan kos sebanyak 200TWD untuk sehari. Shuttle bas ini boleh dinaiki di depan stesen bas ini. Ada pelbagai cara untuk mengeksplorasi gorge ini seperti menyewa teksi, kereta atau motosikal tetapi bagi kami inilah cara termudah dan termurah.

 Stesen bas (bangunan berwarna oren dan berbentuk macam bas)
Petugas di kaunter bas boleh bercakap English. So agak mudah nak beli tiket.  Kami diberi route map hentian dan jadual bas. Kekerapan bas ini adalah 20 - 40 minit di setiap hentian. Pengalaman kami naik bas ini adalah bas ini sentiasa tidak mengikut jadual yang ditetapkan. Kami kena menunggu 5 - 15 minit dari masa jadual bas di setiap hentian kami.  Kira ok lah juga. Tidak lah terlalu lama menunggu.  Di setiap hentian bas ni juga akan dipamerkan destinasi berikutnya dalam English. Ini memudahkan pengguna untuk mengetahui destinasi seterusnya bas ini.
Papan tanda destinasi dan nombor bas akan dipamerkan di setiap bus stop shuttle bus

Nombor shuttle bus ini adalah 1133A dan rupa bas adalah dalam pelbagai bentuk dan warna. Ada yang bentuk mini dan ada juga dua tingkat. Mula - mula kami agak keliru juga dengan rupa bas ni sebab mula-mula kami naik bas mini dan ingatkan bas yang berikutnya semua rupa begini. Rupa-rupanya tidak. So kalau anda plan nak naik bas ni ingat je lah nombor bas ini dan naik je bas ini di hentiannya walaupun rupa bas ini lain dari yang dinaiki sebelum ini.

Kami memulakan perjalanan dengan bas ini pada pukul 10.20 pagi dan berakhir pada pukul 5.30 p.m. Kami hanya sempat untuk pergi ke 4 tempat sahaja kerana kesuntukan masa.

1. Shakadang Trail

Shakadang Trail merupakan hentian pertama kami. Perjalanan ke sini memakan masa selama 50 minit daripada stesen bas Hualien dan merupakan hentian ke 7 bas ini.Tempat ini juga dikenali sebagai Mysterious Valley Trail. Trail ini agak mudah untuk beginner  kerana jalannya landai. Bas ini berhenti di penghujung jambatan merah dan dari situ kami perlu berjalan 200m di penghujung jambatan di arah bertentangan dan kemudiannya menuruni tangga yang curam (semput masa balik kerana nak panjat tangga yang tinggi ni) untuk ke laluan ini.

Shakadang Trail dari arah kami datang


Antara rupa trail yang dilalui (landai tetapi agak licin)


Kena hati-hati di sini sebab kena melalui bumbung berbatu   (risiko batu boleh jatuh menimpa kepala)

Air di sini berwarna biru kehijau-hijauan dan jernih. Pokok-pokok menghijau dan udara bersih. Batu - batu kat sini pelbagai saiz dan kebanyakannya besar-besar. Best kalau boleh turun dan mandi tetapi tidak kelihatan jalan untuk turun ke bawah. Kemungkinan di penghujung trail ini ada jalan kot untuk turun ke sungai.
Air sungai biru kehijauan  dan pokok-pokok kehijauan menhasilkan pemandangan yang  damai dan menyenangkan 
 


Batu-batu marmar yang besar-besar di sini


Perjalanan menyelusuri trail ini memakan masa selama 2 jam return bagi 4.4km perjalanan. Tapi kami hanya berjalan selama 15 minit sahaja dan kemudiannya patah balik sebab anak saya dah meragam dan tak larat nak berjalan lagi. Tempat ini cantik sangat dan rasa tenang di sini tapi sayangnya tak boleh berlama-lamaan di sini

Kami  menunggu bas shuttle di seberang jalan tempat kami turun sebelum ni untuk destinasi kami yang seterusnya iaitu Buluwan, hentian selepas Shakadang Trail.  Kami menunggu selama 15 minit barulah bas ni sampai.

2. Buluwan

Perjalanan ke Buluwan memakan masa selama 20 minit dan perjalanan  ke sana memang cantik. Bas mendaki bukit bukau dan kelihatan lembah-lembah, bukit bukau, tebing-tebing tinggi dan kawasan gorge yang dipenuhi dengan pelbagai bentuk formasi batu marmar yang dihakis oleh sungai. Buluwan merupakan lembah yang terletak di kawasan tertinggi di  taman negara ini.  Bas hanya berhenti di sini semasa perjalanan pergi sahaja. Jadi disarankan berhenti di sini dulu sebelum ke tempat lain. 

Di sini terdapat restoran (tidak halal), handicraft centre,  kawasan rekreasi dan kemudahan tandas. Kami lepak - lepak di kawasan rekreasi dan makan bekalan makanan yang di bawa sambil menikmati pemandangan sekitar. Udara di sini dingin dan segar. Memang rasa tenang.

Pemandangan di sekitar Buluwan










 Kemudahan di sini

Ramai photographer mengambil gambar di sini (tak pasti ambil gambar apa sebab diaorang ni dok berkerumun di satu tempat ..macam ada sesuatu yang menarik perlu diambil gambar)


Daun pokok maple ada yang sudah bertukar merah (musim gugur masa ini)

3. Swallow Grotto (Yanzikou)

Swallow Grotto agak dekat dengan Buluwan. Perjalanan dengan bas shuttle memakan masa selama 5 minit sahaja untuk ke sini.  Swallow Grotto terletak di tengah-tengah taman negara ini dan dinamakan sempena sarang burung layang-layang yang banyak terdapat di dinding-dinding gua di tempat ini.

Tempat ini saya rasa paling cantik di taman negara ini kerana banyak formasi geologi yang unik boleh dilihat.

 Formasi unik di sini (kamera tidak dapat merakam sepenuhnya keindahan tempat ini, lebih cantik dilihat dengan mata sendiri)










Agak payah berjalan di tempat ini kerana jalan dikongsi dengan kenderaan sekali dan kita perlu melalui terowong yang gelap dan sempit.  Ramai pengunjung memakai helmet tapi kami tak jumpa tempat nak ambil helmet ni so kami tawakal je lah. Harap-harap tiada batu menghempap kepala sebab di tempat ini selalu berlaku runtuhan batu.

4. Qixingtan Beach

Oleh kerana hari yang sudah lewat dan anak yang dah meragam tak nak berjalan lagi, kami mengambil keputusan untuk balik dan singgah di Qixingtan Beach yang terletak sejam perjalanan dengan shuttle bus daripada Swallow Grotto. Hentian Qixintan merupakan hentian ke dua terakhir bas shuttle bus ini sebelum ianya berakhir di Stesen Hualien.

Qixingtan Beach merupakan pantai tanpa pasir yang terletak di utara bandar Hualien. Di sini gunung-ganang di daerah ini bertemu dengan Lautan Pasifik. Pantainya dipenuhi dengan batu pebble pelbagai saiz dan berwarna hitam. Pantai ini juga merupakan antara pantai tercantik di Taiwan.

Kawasan rekreasi di Pantai Qixintan

Antara peniaga menjual makanan di sini

Kami beli keledek bakar di sini. Sedap di makan panas-panas dalam cuaca sejuk dan masa perut lapar

 Pantai Qixintan dipenuhi dengan batu-batu. Tiada pasir di sini




Pantainya tidak sesuai untuk mandi - manda (ombak kuat dan pantainya tidak landai)




Kami tidak lama di pantai ini kerana tak tahan sejuk. Sejuknya sampai ke tulang bila ditiup angin. Taiwan sedang mengalami musim gugur jadi cuaca agak sejuk (15c). Kemudiannya kami menaiki shuttle bus untuk balik ke stesen Hualien. Perjalanan ke stesen Hualien mengambil masa selama 10 minit sahaja. Sampai-sampai di sana hari dah gelap,sedangkan baru pukul 5.30 p.m.. Sementara menunggu keretapi ke Taipei kami cuba juga untuk jalan-jalan di bandar Hualien ni tapi bandar ini macam bandar mati di waktu malam. Sunyi sepi dan kedai banyak dah tutup. 

Pada pukul 8.30 malam kami pun menaiki keretapi ke Taipei dan sampai di stesen Taipei pada pukul 10.30 malam. Perjalanan balik mengambil masa 2 jam. Sama dengan masa pergi. Perjalanan hari ini agak meletihkan tetapi rasa berbaloi  kerana akhirnya dapat sampai juga ke Taroko Gorge (antara tempat dalam my bucket list)

Kesimpulannya trip ke Taroko Gorge boleh dibuat secara day trip kalau anda kesuntukan masa. Tapi lebih disarankan bermalam di Hualien sekiranya anda ada masa supaya  anda dapat  benar-benar menikmati tempat ini. 

Blog berkaitan:

Jalan - jalan Taiwan 2016 : Hari Pertama
Jalan - jalan Taiwan 2016: Taipei
Jalan - jalan Taiwan 2016 : Beitou Hot Springs dan Yehliu Geopark



.  

Monday 13 February 2017

Jalan - jalan Jepun 2015: Autumn di Arashiyama, Kyoto


9 November 2015

Arashiyama, merupakan kawasan di pinggir barat bandaraya Kyoto, Jepun yang popular dengan hutan buluhnya, aka Bamboo Forest. Tempat ini sentiasa menarik untuk dikunjungi tak kira apa musimnya. Setiap musim mempunyai tarikannya yang tersendiri.

Kami berkunjung ke sini di permulaan musim gugur yang mana pokok-pokok baru bertukar warna di bandaraya Kyoto. Namun di Arashiyama kelihatannnya musim luruh sudah hampir berada di kemuncaknya.

Untuk ke sini agak mudah daripada hotel kami. Kami hanya perlu menaiki train di stesen JR Minami Kusatsu yang terletak di sebelah hotel. Perjalanan dari stesen ini ke stesen Kyoto memakan masa selama 20 minit dan dari stesen Kyoto pula kami menaiki train ke stesen Saga-Arashiyama selama 15 minit. Semua perjalanan ini percuma dengan JR Pass.


 Hotel kami di Kyoto. Semalam RM280 untuk 3 orang


Suasana musim luruh di sekitar hotel


Stesen JR Minami Kusatsu


Sampai di stesen Saga-Arashiyama kami terus bertanya dengan petugas di situ arah untuk ke Tenryuji Temple dan Bamboo Forest. Dengan berbekalkan peta dan arah yang diberi kami pun bergegas ke sana. Nampak macam mudah saja nak ke sana tetapi kami sesat barat. Akhirnya kami terpaksa bertanya dengan penduduk di situ arah untuk ke sana. Signage memang ada tetapi kecil dan tidak perasan. Untuk ke Tenryuji Temple sebaik sahaja melepasi stesen Saga Taroko Station kita akan jumpa satu traffic light. Di situ kena belok di sebelah kanan dan selepas itu jalan terus dan akan nampak Tenryuji Temple di seberang jalan. Mudah sebenarnya.

Peta untuk ke Tenryuji Temple dan Bamboo Forest (sumber: Japan-guide.com). Bamboo Forest terletak di belakang kuil berkenaan. Kami hendak ke Tenryuji Temple terlebih dahulu
 
Stesen Saga - Taroko terletak bersebelahan sahaja dengan stesen Saga Arashiyama. Dari stesen ini boleh naik Sagano Scenic Train 



Suasana jalan untuk ke Tenryuji Temple





Perkhidmatan beca di sini..bolehlah naik kalau malas nak berjalan atau nak merasai naik beca. Harga boleh tahan mahalnya

Kedai menjual snek jepun


Kedai menjual takoyaki yang terletak di jalan ke Tenryuji Temple. Kami singgah membeli dan rasanya inilah takoyaki tersedap yang pernah saya makan. Harganya antara 480-1000 yen bergantung dengan jenis dan jumlah takoyaki dibeli

 Pintu masuk Tenryuji Temple. Bayaran masuk 500 yen


Suasana musim luruh berdekatan temple

 Tenryuji Temple



Suasana musim luruh di Sogenchi Garden (taman di kuil ini) masih belum di kemuncaknya. Daun pokok belum bertukar merah sepenuhnya


Pokok buluh di Sogenchi Garden
Di belakang kuil ini terletaknya Bamboo Forest yang famous tu. Hutan buluh ini merupakan trademark untuk Kyoto dan kira wajib pergilah kalau berkunjung ke Kyoto. Malangnya ramai sangat orang masa kami ke sini. Nak ambil gambar tanpa orang payah sungguh. Kamera pulak habis bateri so terpaksalah guna kamera hp yang kualitinya sangat rendah
Selepas bersiar-siar di hutan buluh tu kami patah balik ke Tarroko Saga Station untuk menaiki scenic train. Oleh kerana tiket duduk sudah habis kami terpaksa beli tiket berdiri.  JR Pass tidak boleh digunakan untuk naik keretapi ni. Harga tiket sehala adalah 620 yen.  Perjalanan naik train ini singkat sahaja iaitu 25 minit untuk perjalanan berjarak 7 kilometre. Sagano Scenic Train ini merupakan antara scenic train di Jepun yang patut dinaiki dan disarankan naik train ini semasa musim luruh kerana pemandangan di sepanjang jalan memang cantik sangat. Pokok-pokok di sepanjang jalan sudah bertukar merah dan kuning dan diserikan lagi dengan pemandangan  sungai yang jernih kehijau-hijauan.  Hanya tidak dapat dikongsi di sini kecantikan pemandangan di sepanjang jalan sebab kualiti gambar yang saya ambil low.
Sagano Scenic Train

Gambar Sagano Scenic Train semasa musim luruh diambil dari jrpass.com


Destinasi terakhir keretapi ini adalah di Torokko Kameoka Station. Dari situ kami menaiki keretapi dari stesen Arashiyma (terletak 5 minit berjalan kaki dari stesen Torokko Kameoka Station) untuk ke stesen Kyoto. Perjalanan ke stesen Kyoto memakan masa selama 15 minit dan JR Pass boleh digunakan untuk naik keretapi ini.

Selepas mengambil luggage kami dari hotel, kami menaiki keretapi Shinkansen dari stesen Kyoto ke stesen Kanazawa. Dari stesen Kanazawa kami perlu menaiki keretapi Shinkansen yang lain untuk ke Toyama. Oleh kerana connection time yang agak dekat kami tertinggal keretapi yang sepatutnya di naiki. Kami terpaksa mendapatkan tiket keretapi yang lain (nasib baik ada JR Pass, kalau tidak kena beli tiket baharu) untuk ke Toyama. Malam itu kami bermalam di Toyama kerana keesokannya kami akan ke Kurobe Alpine Route.
 
 
Jalan - jalan Jepun 2015 : Autumn di Takayama
Jalan - jalan Jepun 2015 : Autumn di Ogimachi, Shirakawago