Sunday 26 February 2017

Jalan - jalan Taiwan 2016: Taroko Gorge



2 Disember 2016

Taroko Gorge merupakan salah satu daripada 9 taman negara di Taiwan dan merupakan gaung-gaung marmar yang unik yang terbentuk hasil dari alam semulajadi. Ianya terletak di Sungai Liwu, didaerah Hualien dan dikatakan terdapat banyak batu jed di sini.  Untuk ke sini dari Taipei, pengunjung boleh menaiki keretapi dari Taipei Station dan berhenti di Xincheng Station  atau Hualien Station. Kami turun di Hualien Station kerana kekerapan keretapi lebih banyak ke sini dan juga lebih mudah untuk menaiki Taroko Shuttle Bus.

Seawal pukul 7 pagi kami telah berjalan kaki dari hotel ke Taipei Station. Perjalanan dari hotel ke stesen dekat sahaja. Dalam masa 10 minit dah sampai stesen. Tapi oleh kerana stesen ini luas kami kena mencari-cari juga platform tempat kami naik keretapi.  Mula-mula confuse  juga di mana platform kami sebab signage yang ada agak mengelirukan. Akhirnya kami bertanya dengan pekerja di situ. Orang Taiwan kebanyakannya boleh bercakap English so agak mudah berkomunikasi.

Keretapi kami ke Hualien adalah pada pukul 7.40 pagi. Tiket keretapi kami telah beli secara online sebulan awal.   Baucar tempahan online ini perlu ditukar dulu di 7 - 11 atau di stesen Taipei untuk mendapatkan tiket sebenar sebelum menaiki keretapi. Tiket ke Hualien selalu sold out dan adalah disarankan  tiket dibeli awal sekiranya anda hendak ke Hualien dengan menaiki keretapi. Untuk menempah tiket online ini anda boleh pergi ke alamat url http://www.railway.gov.tw/en/index.aspx  Tiket boleh ditempah seawal sebulan dari tarikh bertolak. Harga tiket keretapi sehala ke Hualien bernilai TWD440 (RM63) untuk perjalanan sejauh 2 jam.

Sampai di Taipei Station baru saya sedar saya tertinggal bateri kamera di hotel. Malam tadi saya caj tapi terlupa hendak masukan ke dalam kamera balik. Untuk patah balik ambil bateri memang tak sempat. So terpaksalah reda je lah  untuk ambil gambar di Taroko Gorge dengan kamera handphone sahaja.

Keretapi  kami bertolak on time. Tempat duduk agak selesa dan legroom agak luas. Permandangan pada mulanya agak kurang menarik iaitu menyelusuri kawasan bandar (kebanyakaan bangunan lama). Ianya jadi menarik apabila kami melalui  banyak terowong, menyelusuri sungai, perkampungan dan juga melalui hutan rimba. Setengah jam sebelum sampai ke Hualien permandangan yang dilalui menjadi bertambah indah kerana pemandangan gorge di sebelah kanan dan pesisir pantai di sebelah kiri dilalui.  Hanya cuaca pada hari ini mendung dan kadang-kadang hujan di sepanjang perjalanan menjadikan permandangan yang dilalui agak suram.
 Suasana dalam train


Antara  pemandangan yang dilalui keretapi yang sempat dirakam






Stesen Hualien agak kecil sahaja dan agak crowded dengan pengunjung. Kami terus  keluar dari stesen dan terus membelok di sebelah kiri untuk ke stesen bas (dalam 200 meter dari stesen Hualien) untuk membeli tiket Taroke Gorge Shuttle Bus. Bas ini berkonsepkan hop on hop off dan kita hanya perlu membayar sekali sahaja tiket dengan kos sebanyak 200TWD untuk sehari. Shuttle bas ini boleh dinaiki di depan stesen bas ini. Ada pelbagai cara untuk mengeksplorasi gorge ini seperti menyewa teksi, kereta atau motosikal tetapi bagi kami inilah cara termudah dan termurah.

 Stesen bas (bangunan berwarna oren dan berbentuk macam bas)
Petugas di kaunter bas boleh bercakap English. So agak mudah nak beli tiket.  Kami diberi route map hentian dan jadual bas. Kekerapan bas ini adalah 20 - 40 minit di setiap hentian. Pengalaman kami naik bas ini adalah bas ini sentiasa tidak mengikut jadual yang ditetapkan. Kami kena menunggu 5 - 15 minit dari masa jadual bas di setiap hentian kami.  Kira ok lah juga. Tidak lah terlalu lama menunggu.  Di setiap hentian bas ni juga akan dipamerkan destinasi berikutnya dalam English. Ini memudahkan pengguna untuk mengetahui destinasi seterusnya bas ini.
Papan tanda destinasi dan nombor bas akan dipamerkan di setiap bus stop shuttle bus

Nombor shuttle bus ini adalah 1133A dan rupa bas adalah dalam pelbagai bentuk dan warna. Ada yang bentuk mini dan ada juga dua tingkat. Mula - mula kami agak keliru juga dengan rupa bas ni sebab mula-mula kami naik bas mini dan ingatkan bas yang berikutnya semua rupa begini. Rupa-rupanya tidak. So kalau anda plan nak naik bas ni ingat je lah nombor bas ini dan naik je bas ini di hentiannya walaupun rupa bas ini lain dari yang dinaiki sebelum ini.

Kami memulakan perjalanan dengan bas ini pada pukul 10.20 pagi dan berakhir pada pukul 5.30 p.m. Kami hanya sempat untuk pergi ke 4 tempat sahaja kerana kesuntukan masa.

1. Shakadang Trail

Shakadang Trail merupakan hentian pertama kami. Perjalanan ke sini memakan masa selama 50 minit daripada stesen bas Hualien dan merupakan hentian ke 7 bas ini.Tempat ini juga dikenali sebagai Mysterious Valley Trail. Trail ini agak mudah untuk beginner  kerana jalannya landai. Bas ini berhenti di penghujung jambatan merah dan dari situ kami perlu berjalan 200m di penghujung jambatan di arah bertentangan dan kemudiannya menuruni tangga yang curam (semput masa balik kerana nak panjat tangga yang tinggi ni) untuk ke laluan ini.

Shakadang Trail dari arah kami datang


Antara rupa trail yang dilalui (landai tetapi agak licin)


Kena hati-hati di sini sebab kena melalui bumbung berbatu   (risiko batu boleh jatuh menimpa kepala)

Air di sini berwarna biru kehijau-hijauan dan jernih. Pokok-pokok menghijau dan udara bersih. Batu - batu kat sini pelbagai saiz dan kebanyakannya besar-besar. Best kalau boleh turun dan mandi tetapi tidak kelihatan jalan untuk turun ke bawah. Kemungkinan di penghujung trail ini ada jalan kot untuk turun ke sungai.
Air sungai biru kehijauan  dan pokok-pokok kehijauan menhasilkan pemandangan yang  damai dan menyenangkan 
 


Batu-batu marmar yang besar-besar di sini


Perjalanan menyelusuri trail ini memakan masa selama 2 jam return bagi 4.4km perjalanan. Tapi kami hanya berjalan selama 15 minit sahaja dan kemudiannya patah balik sebab anak saya dah meragam dan tak larat nak berjalan lagi. Tempat ini cantik sangat dan rasa tenang di sini tapi sayangnya tak boleh berlama-lamaan di sini

Kami  menunggu bas shuttle di seberang jalan tempat kami turun sebelum ni untuk destinasi kami yang seterusnya iaitu Buluwan, hentian selepas Shakadang Trail.  Kami menunggu selama 15 minit barulah bas ni sampai.

2. Buluwan

Perjalanan ke Buluwan memakan masa selama 20 minit dan perjalanan  ke sana memang cantik. Bas mendaki bukit bukau dan kelihatan lembah-lembah, bukit bukau, tebing-tebing tinggi dan kawasan gorge yang dipenuhi dengan pelbagai bentuk formasi batu marmar yang dihakis oleh sungai. Buluwan merupakan lembah yang terletak di kawasan tertinggi di  taman negara ini.  Bas hanya berhenti di sini semasa perjalanan pergi sahaja. Jadi disarankan berhenti di sini dulu sebelum ke tempat lain. 

Di sini terdapat restoran (tidak halal), handicraft centre,  kawasan rekreasi dan kemudahan tandas. Kami lepak - lepak di kawasan rekreasi dan makan bekalan makanan yang di bawa sambil menikmati pemandangan sekitar. Udara di sini dingin dan segar. Memang rasa tenang.

Pemandangan di sekitar Buluwan










 Kemudahan di sini

Ramai photographer mengambil gambar di sini (tak pasti ambil gambar apa sebab diaorang ni dok berkerumun di satu tempat ..macam ada sesuatu yang menarik perlu diambil gambar)


Daun pokok maple ada yang sudah bertukar merah (musim gugur masa ini)

3. Swallow Grotto (Yanzikou)

Swallow Grotto agak dekat dengan Buluwan. Perjalanan dengan bas shuttle memakan masa selama 5 minit sahaja untuk ke sini.  Swallow Grotto terletak di tengah-tengah taman negara ini dan dinamakan sempena sarang burung layang-layang yang banyak terdapat di dinding-dinding gua di tempat ini.

Tempat ini saya rasa paling cantik di taman negara ini kerana banyak formasi geologi yang unik boleh dilihat.

 Formasi unik di sini (kamera tidak dapat merakam sepenuhnya keindahan tempat ini, lebih cantik dilihat dengan mata sendiri)










Agak payah berjalan di tempat ini kerana jalan dikongsi dengan kenderaan sekali dan kita perlu melalui terowong yang gelap dan sempit.  Ramai pengunjung memakai helmet tapi kami tak jumpa tempat nak ambil helmet ni so kami tawakal je lah. Harap-harap tiada batu menghempap kepala sebab di tempat ini selalu berlaku runtuhan batu.

4. Qixingtan Beach

Oleh kerana hari yang sudah lewat dan anak yang dah meragam tak nak berjalan lagi, kami mengambil keputusan untuk balik dan singgah di Qixingtan Beach yang terletak sejam perjalanan dengan shuttle bus daripada Swallow Grotto. Hentian Qixintan merupakan hentian ke dua terakhir bas shuttle bus ini sebelum ianya berakhir di Stesen Hualien.

Qixingtan Beach merupakan pantai tanpa pasir yang terletak di utara bandar Hualien. Di sini gunung-ganang di daerah ini bertemu dengan Lautan Pasifik. Pantainya dipenuhi dengan batu pebble pelbagai saiz dan berwarna hitam. Pantai ini juga merupakan antara pantai tercantik di Taiwan.

Kawasan rekreasi di Pantai Qixintan

Antara peniaga menjual makanan di sini

Kami beli keledek bakar di sini. Sedap di makan panas-panas dalam cuaca sejuk dan masa perut lapar

 Pantai Qixintan dipenuhi dengan batu-batu. Tiada pasir di sini




Pantainya tidak sesuai untuk mandi - manda (ombak kuat dan pantainya tidak landai)




Kami tidak lama di pantai ini kerana tak tahan sejuk. Sejuknya sampai ke tulang bila ditiup angin. Taiwan sedang mengalami musim gugur jadi cuaca agak sejuk (15c). Kemudiannya kami menaiki shuttle bus untuk balik ke stesen Hualien. Perjalanan ke stesen Hualien mengambil masa selama 10 minit sahaja. Sampai-sampai di sana hari dah gelap,sedangkan baru pukul 5.30 p.m.. Sementara menunggu keretapi ke Taipei kami cuba juga untuk jalan-jalan di bandar Hualien ni tapi bandar ini macam bandar mati di waktu malam. Sunyi sepi dan kedai banyak dah tutup. 

Pada pukul 8.30 malam kami pun menaiki keretapi ke Taipei dan sampai di stesen Taipei pada pukul 10.30 malam. Perjalanan balik mengambil masa 2 jam. Sama dengan masa pergi. Perjalanan hari ini agak meletihkan tetapi rasa berbaloi  kerana akhirnya dapat sampai juga ke Taroko Gorge (antara tempat dalam my bucket list)

Kesimpulannya trip ke Taroko Gorge boleh dibuat secara day trip kalau anda kesuntukan masa. Tapi lebih disarankan bermalam di Hualien sekiranya anda ada masa supaya  anda dapat  benar-benar menikmati tempat ini. 

Blog berkaitan:

Jalan - jalan Taiwan 2016 : Hari Pertama
Jalan - jalan Taiwan 2016: Taipei
Jalan - jalan Taiwan 2016 : Beitou Hot Springs dan Yehliu Geopark



.  

0 comments:

Post a Comment