20 Januari 2015
Kami telah ke Hong Kong selama 4 hari 3 malam dengan tujuan utama untuk ke Hong Kong Disneyland. Sekali sekala nak buat trip ke luar negara khas untuk anak enjoy pula. Seperti biasa trip ini kami buat secara DIY tanpa mengikuti mana-mana tour untuk menjimatkan kos.
Kami bertolak ke Hong Kong dengan menaiki flight Airasia pada pukul 8 pagi dengan harga kos flight sebanyak RM198 seorang return. Harga agak murah kerana tiket dibeli enam bulan sebelumnya.
Perjalanan ke Hong Kong memakan masa selama 3 jam tetapi terasa lama kerana flight ni asyik bergoyang. Rasa kurang selesa dan macam-macam terbayang di kepala. Tambahan pula baru sebulan lebih insiden flight Airasia dari Surabaya ke Singapore terhempas di laut.
Proses imigresen, kastam dan mengambil beg lancar dan pantas. Dalam masa 30 minit kami sudah keluar dari balai berlepas. Keluar sahaja kami terus ke kaunter 1010 untuk membeli Discover Hong Kong Tourist SIM Card dengan kos sebanyak RM36. Sim kad ini valid untuk 5 hari termasuk 1GB data internet.
Kaunter 1010 di balai ketibaan Lapangan Terbang Hong Kong
Lapangan Terbang Hong Kong besar dan bersih
Kemudiannya kami keluar dari airport untuk mengambil bas airport limousine A21 ke hostel kami di Mong Kok. Stesen bas ni berjarak dalam 200 meter dari lapangan terbang dan kita tak perlu risau macamana untuk ke stesen bas ini kerana ada signage untuk ke sini. Harga tiket bas ni HK33 (RM14) dan kami membayar harga tiket dengan kad Octopus (beli di kaunter Customer Service HK Airport)
Kami menginap di Lucky Hostel yang terletak di Mong Kok. Perjalanan dari airport ke hostel ini mengambil masa 40 minit dan bus stop kami adalah yang ke 10 (Nathan Hotel Stop) yang terletak di seberang jalan sahaja dari hostel kami.
Hostel kami terletak di dalam bangunan flat kediaman (Chun Yee Building) di Tingkat 14. Bangunan ni dari luar kelihatan buruk. Mujur bilik ok . Bersih tetapi agak sempit untuk triple room. Bilik air ada di dalam bilik dan ada disediakan cerek elektrik.Harga hostel kami RM180 semalam. Rata-rata hotel di Hong Kong memang mahal dan bilik sempit.
Selepas solat jama' dan berehat sebentar kami pun keluar untuk ke Tsim Sha Shui Promenade dengan menaiki MRT dari stesen Mong Kok yang terletak 400 meter dari hostel. Sebenarnya boleh sahaja kami berjalan kaki ke sana kerana jarak hanya 2 km sahaja tetapi cuaca agak sejuk masa tu (15c). Hong Kong masa tu berada di musim dingin.Kami menaiki MRT ni dengan menggunakan kad Octopus dan ke stesen Tsim Sha Tsui (terletak 2 stesen dari stesen Mongkok) adalah RM2.50 sehala. Kanak-kanak separuh harga.
Tujuan kami ke sini adalah untuk menyaksikan persembahan Symphony of Light di Tsim Sha Shui Promenade. Persembahan lampu laser ni bermula pada pukul 8.00 malam sehingga 8.13 malam dan ianya boleh disaksikan di dua arah Victoria Harbour; Tsim Sha Shui Promenade dan di Bauhinia Square, Wan Chai. Ada naratif untuk persembahan ini dan bahasa digunakan adalah mengikut hari. Semasa kami ke sini naratifnya adalah dalam bahasa Kantonis.
Symphony of Light
Oleh kerana persembahaan laser ni free sahaja maka ramai lah orang berpusu-pusu di Promenade Tsim Sha Shui ni. Siapa yang datang awal dapatlah tempat di depan dan boleh melihat dengan jelas lagi tanpa diganggu oleh kepala orang. Oleh kerana kami ni tak datang awal memang payah sikit nak lihat tanpa kepala orang.
Selepas melihat persembahan ni kami pergi ke Restoran Ebenezzar untuk makan malam. Restoran India ni terletak berdekatan dengan Tsim Sha Shui Station, tak jauh dari Masjid Kowloon.
Nasi beriyani kat sini agak sedap dan banyak. Satu pinggan boleh dua orang makan. Harga sepinggan HKD46 (RM19). Selepas menjamu selera, kami terus balik ke hotel kerana anak kami dah mengantuk. Niat untuk shopping ke Ladies Market terpaksa ditangguhkan.
0 comments:
Post a Comment